Skip to content

Category: Life

Siti Nurhaliza – A decade too late

Waktu Siti Nurhaliza mula ngetop tahun 1996 dengan lagu Jerat Percintaan, aku masih darjah 6. Cinta pandang pertama aku dengan Siti ni datang waktu dia perform rancangan hiburan sempena hari raya dekat TV1. Sempat aku cakap dengan mak aku yang Siti Nurhaliza ni lawo orangnya. Takde orang lagi lawo daripada dia. Macam barbie-doll.

Dah la cantik comel-comel gitu, suara sedap pulak tu.  Waktu tu mulalah berketi laksa kaum jantan yang tak mengenal usia, baik daripada budak yang baru akil baligh baru nak stabil hormon, abang-abang kerja opis sudah tangkap lentok sama Siti Nurhaliza. Suami-suami orang pun dah mula pasang cita-cita nak jadikan Siti Nurhaliza sebagai cawangan baru.

Tsunami yang Siti Nurhaliza bawak waktu tu memang hebat. Muka-muka baru yang cuba cari makan waktu tu memang kena tapau habis dengan Siti Nurhaliza ni. Muka-muka lama seperti Ziana Zain & Fauziah Latiff sudah mula tergugat. Anugerah yang Siti Nurhaliza menang memang tak terkira banyaknya, dalam dan luar negara. Sampailah satu waktu bila ada suara-suara sumbang yang komplen asyik Siti Nurhaliza je menang awards. Tak lama lepas tu Siti Nurhaliza umumkan yang dia tak akan sertai mana-mana anugerah untuk bagi chance dekat artis lain menang pulak.

Pada awal penglibatan Siti Nurhaliza sebagai artis ni, tahap fanatism peminat dia ni memang hebat. Waktu duduk asrama sekolah menengah dulu, berapa ramai kutu yang tampal poster URTV Siti Nurhaliza dekat belakang loker? Bila tengok trend minat Siti ni luar kawalan, aku jadi kurang berminat nak put too much interest. Malas nak layan mainstream crowd ni, so aku just follow perkembangan Siti daripada jauh. Lagu-lagu dia semua aku dengar, tapi kurang penghayatan sangat. Zaman tu zaman post boybands, dimana band-band macam Linkin Park / Incubus dan lain-lain mula masuk market Malaysia. Untuk mengelakkan diri diejek jiwang serta merta dipulaukan dek kawan sebab tak rock, terpaksa la aku layan band-band macam ni walaupun naluri malam-malam nak dengar lagu balada Siti Nurhaliza.

Masuk zaman Universiti, minat aku dekat Siti Nurhaliza masih di tahap selenga, cuma layan lagu-lagu dia dekat radio. Tahap fanatik peminat masih hebat macam dulu, sampai ada tahap sorang kutu ni siap buat kad jemputan kahwin dia dengan Siti. Bila Siti umum yang dia tengah bercinta dengan Datuk K, habis meroyan semua lelaki satu Malaya. Aku pun meroyan jugak, tapi meroyan dalam hati je la.

Rata-rata waktu tu satu Malaya tak approve Siti Nurhaliza dan Datuk K ni. Maklumlah Siti tu superstar, muda, cantik pulak tu, mana layak kahwin dengan duda anak empat. Tak kelas langsung! Tapi jodoh tu kan di tangan Tuhan.

Sekarang Siti Nurhaliza dah umur 36, dah millionaire, dah pakai tudung, body pun dah tembun, dah slow menyanyi, dan ada produk kecantikan sendiri. Bila keluar album baru pun tak banyak lagu top macam dulu. Suara pun dah tak power macam zaman dara sunti. Dulu setiap kali dia nyanyi live sejibik macam dalam kaset, sekarang kureng sikit. Mungkin dia kurang aktif sebab faktor usia ataupun Datuk K bising tiap-tiap malam suruh dia slowdown sebab umur nak makin senja.

***

Minggu lepas, aku duduk termenung sambil mengenangkan projek dekat office ni, aku terasa nak imbas balik kenangan-kenangan lama 10 tahun lepas. Kemudian aku bukak Spotify, terus nampak album diskografi Siti Nurhaliza. Terus aku playback lagu-lagu dia sejak dia mula bergiat sebagai anak seni.

Serta merta memori-memori lama sejak zaman sekolah sampai zaman universiti merembes keluar. Setiap lagu dia mesti ada terpaut dengan mana-mana memori manis / pahit sepanjang aku hidup selama 30 tahun ni. Dan waktu ni barulah aku dapat hargai balik lagu-lagu lama Siti Nurhaliza. Terus aku jadi rindu balik dekat Siti Nurhaliza yang dulu. Habis video lama Siti Nurhaliza waktu dulu aku korek dekat Youtube. I’m picking up whatever I have left before.

So sebenarnya kita tak boleh deny, Siti Nurhaliza memang national sweetheart, dulu kini dan selamanya. Secara indirect Siti mesti ada influence perjalanan kehidupan korang, walaupun korang hapah tak minat dia.

Serta merta aku dah tambah satu lagi list 100 things to do before I die; Pergi konsert live Siti Nurhaliza.

 Definitely a decade too late for me.

1 Comment

Puncak Jalil

Good moaning.

A photo posted by Azwan Ngali (@blusmurf) on

 

Puncak Jalil is not for human living wan. Keluar pukul 600, sampai office pukul 630. Keluar pukul 630, sampai office pukul 800. Macam kerja dekat kilang Infenion Bukit Berendam.

Bila boleh balik Cyberjaya?

Leave a Comment

Mabuk ketum

tcn

Dua hari lepas gua balik office lambat. Hampir2 Maghrib gitu. Jadi bila dah sampai dekat lif apartment, ada satu couple suami isteri join gua dalam lif. Akak tu pulak dukung sekor kucing. Aku ingat kucing tu Kokonat, si kucing cekelat yang ramah tamah bulu tebal lagi comel.

Gua ada jugak usulkan dekat bini gua nak culik si Kokonat tu bawak balik rumah, tapi bini gua tak kasi sebab dia alergik dengan bulu kucing. Sebab tu sampai sekarang gua takde kucing macam orang lain.

Nak disambungkan cerita, bila akak dan suami dia masuk lif, gua buat-buat ramah. Gua pun tak tau apa gua fikir time tu, gua tanya soalan macam ni.

“Akak baru ambik kucing ni dekat nursery ke?”

Bila gua keluar daripada lif, baru otak gua sync balik. Perasaan menyesal serta merta datang.

“Bodo tau aku neh.”

Gua story kat bini lepas tu, bini gua gelak. Sampai sekarang dia up gua dalam group Whatsapp. Tapi gua cuba mendefend diri sendiri.

“Secara teknikalnya, pet shop tu nursery lah. Nursery untuk kucing”

Walaupun gua tau gua salah, tapi gua tetap nak cover line. Dalam zaman teknologi serba canggih manggih sosial media ni, gua berharap soalan bengong gua tu tak bersemadi dekat Twitter atau Facebook akak tu lantas jadi viral seluruh negara.

Moral: Balik rumah awal.

Leave a Comment

Ejaan pendek.

Masa berbincang dengan boss aku pasal new hire kami.

“Her onboarding date is 1st July. Usually new notebook request will take around 2-3 weeks to be fulfilled. I’m going fill up the service request form now”

“Yes, please submit the request on her B 1/2”

Kemudian dia offline pergi breakfast.

Aku mengalami kesukaran nak mentafsirkan perkataan terakhir beliau.

Seminit aku tercangak-cangak mencarik maksud sambil menggaru-garu pipi.

..

..

B 1/2 = behalf.

#hipster

 

Leave a Comment

MaGIC

MaGIC, Malaysian Global Innovation and Creative Centre (MaGIC) ditubuhkan khas untuk membantu syarikat yang berkecimpung dalam bidang media kreatif, dan juga one-stop centre untuk usahawan baru bertapak.

Sepanjang dua minggu ni kami tengok depan office tu sibuk nak menaikkan khemah, letak aircond yang gila banyak. Siap ada pentas untuk konsert waktu malam lagi.

Kami juga terpaksa apply special tag untuk keluar masuk office sebab waktu hari perasmian dan sepanjang majlis ada kawalan ketat sekuriti sana sini. Kami juga nampak penembak-penembak tepat yang berpakaian rumput rampai atas bangunan-bangunan tinggi di Cyberjaya.

2014-04-24 17.58.33

(Tak paham kenapa muka aku melebar sungguh dalam tag ni *siul*siul)

Sebabnya dengar ura-ura Presiden Obama nak datang sekali dengan PM Najib Razak.

Issue TPPA. Trans-Pacific Parnership Agreement yang tak menguntungkan.

Sekian. Balik awal petang ni. Chow.

Leave a Comment

McD Delivery Service.

Cerita zaman belajar dulu.

Pernah tak telefon 1300-13-1300? No telefon keramat ketika lapar menerjah perut. Tapi no tu sebenarnya tertakluk kat kawasan jajahan Mcdonalds masing-masing. Sila rujuk restoran Mcdonalds yang terdekat. Dekat Seksyen 7 Shah Alam ni ada 2 restoran Mcdonalds terhampir. Satu di Seksyen 3 bersebelahan roundabout Taman Tasik Shah Alam hampir dengan UiTM  dan satu lagi di Seksyen 9, bersebelahan Plaza Masalam/Shah Alam Mall. Tapi kebanyakan order yang hadir daripada Seksyen 7 ni selalunya diuruskan dek Mcdonalds Seksyen 9. Tatau kenapa walhal Seksyen 3 lagi dekat, lihat seperti lagi banyak tunggangan untuk misi penghantaran. Mungkin nombor 9 tu lebih hampir dengan 7 berbanding 3. Tapi apa kena mengena pun. Seksyen 3 lagi dekat apa berbanding dengan Seksyen 9. Ah biarlah.

Cerita ni sudah berbulan lepas. Tak tergerak nak ceghita, tapi sudah lama tak update blog, takde idea. Koreklah apa idea sisa yang tinggal lantas curah sambil kunyah limau mandarin pagi pagi dalam lab. Lecturers cancel semua kelas sebab nak meeting untuk final exam. Dah tak jauh. Tak bau bau bacang dah. Perut rasa geli semacam je. Makan lagi limau mandarin, ini bijik yang ke-3. Siapa cepat dia dapat lah.

Malam kejadian tu sebenarnya baru saja pulang daripada Melaka. Rajin la ke Melaka. Komitmen dengan client jauh nun di bumi Hang Tuah. Sampai ke Seksyen 7 terus lapar. Lapar amat. Nak keluar tapi letih sebenarnya 1 jam 1/2 drive daripada sana ke sini. Mapley Khulafa’ dengan Hakim tu bukan jauh. Sepelaung je daripada rumah. Tapi kalau sudah pemalas tu pemalas juga. Capai telefon. Terus dail no keramat. Customer service Mcdonalds sudah kenal kita kalau kita selalu telefon. Terus sebut nama Azwan. Siap alamat lagi. Bagus bagus. Tak perlu kenalkan diri lagi. Pukul 3 pagi masih gagah melayan pelanggan. Hep, ini bukan layan gitu gitu, layan order pelangganlah. Pelanggan lapo malam-malam.

Nak dijadikan cerita malam tu order Large BigMac, Crispy Fried Chicken dengan Ribena. Jumlah semua sekali RM 18.30 termasuk kos penghantaran RM 3.00. Dalam hati dah tak kisah. Tengah lapar, letih siap kaki dah tak mampu nak menapak lagi maka duduklah atas tempat pembaringan. Tak lama kemudian dapat misscall daripada nombor asing. Sudah sampai barangkali lekas berbangun tuju ke pintu buka grill capai kasut dengan duit not RM 50.00 dalam tangan. Lambat sungguh Mcdonalds delivery ni nak dekat sejam lebih baru sampai.

“Err, abang takde duit kecik ke?”

Brader delivery tu bertanya.

“Takde la pulak. Ini je yang saya ada”

Dia membelek-belek porchbag, harapnya kalau ada duit tukar. Tak cukup ke porchbag, beralih ke wallet.

“Saya pun takde duit tukar ni bang. Duit tukar semua dah pakai kat rumah sebelum ni”

“La, takkanlah bawak duit spare change cukup-cukup je kalau dah tau banyak rumah buat order?”

“Tu la bang. Tak jangka pulak.”

Ceh, apakah punya alasan. Takpelah sabar lagi. Sudah lapo lagi lama nak kena terpacak depan pintu pagar nun.

“Abang pegi la mapley kat sebelah sana tu. Tukar kat sana pun boleh”

“Err, saya tak familiar la dengan area sini. Abang boleh tunjuk jalan tak? Hehe.”

Ah sudah tak familiar jalan pulak. Macam mana boleh jadi McDonalds delivery boy kalau tak familiar jalan ni. Tapi boleh pulak jumpa rumah ni. Lantas pakai baju, seluar track terus tunjuk brader tu jalan menuju ke mapley untuk tukar duit. Baki berada di tangan. Tak lama terus pulang ke rumah, menghadap fries yang dah sejuk depan mata sambil gelak.

“Ceh, aku call buat order & fork duit RM 20 for food sebab tak larat nak keluar cari nasik. Kalau dah tadi pergi teman brader tu ke mapley sebab nak tukar duit, apa point aku buat order McD ni? Dah la lambat, kena keluar jugak. Mahal pulak tu.”

Moral: Sediakan duit cukup cukup bila buat order. Diorang tu belum tentu ada spare change.

Sekarang udah kurang makan fast-food. Misi menghilangkan perut sebelum menjelang Viper Challenge bulan November lagi.

Leave a Comment

Bebai.

Boss aku baru balik daripada meeting re-org dekat Austin TX semalam. Hari ni dia masuk office macam biasa dengan separa jet-laggednya.

Tengah duduk syok baca email, tiba2 Outlook aku keluar invitation.

“1×1, ITOC 2.30PM – 3.00PM”

Ok, ada 1×1 meeting dengan beliau. Maybe nak sembang pasal new direction lepas meeting re-org haritu. So aku keluar lunch awal dengan Faizal. Selalunya keluar pukul 12, balik mungkin dalam 1.30 gitu. Tapi sejak boss aku dah arrange 1×1 awal-awal, so baliklah cepat.

Menjelang 2.30, dia tak panggil-panggil jugak nak masuk team room. 2.45 pun senyap je. Selalunya punctual. Kemudian pukul 3.00 petang, masih takde response.

Aku panjangkan leher. Orang tua ada kat cubicle, ingatkan hilang pergi makan ke merayap ke.

So aku pun tegurlah dia, kata nak 1×1. Ni dah pukul 3.00 petang.

“Oh sir, sorry too many things going on, can I reschedule your 1×1 at 4 o’ clock?”

Aku takde hal pun sebenarnya. So aku angguk je lah.

“It’s okay boss, take your time”

Menjelang pukul 4.00 petang, pun diam. Tiba-tiba dia datang approach aku daripada belakang

“Are you in the office tomorrow? I think we’ll just have a meeting tomorrow. Are you okay?”

Ah sudah, baru ingat esok nak ambik half day nak jumpa lawyer rumah.

“Hmm, yeah sure, maybe we can schedule a little bit early, I have some errands to be done tomorrow”

Dia setuju, tak lama lepas tu new invitation keluar.

1×1, ITOC Wednesday 11.00 AM – 11.30PM

Kemudian aku keluar pergi toilet dalam 10 minit, duduk balik depan laptop tiba2 schedule kena cross-strike.

Keluar invitation baru.

1×1 ITOC Thursday 4.00 PM – 4.30 PM

Sah dia ni memang jetlagged teruk.

Kemudian tak lama lepas tu ada meeting, zaujah hantar message dekat Whatsapp, dia kata dia nak deposit RM 300 untuk bayar bil kredit kad, tapi termasukkan RM 500 masa dalam traffic jam.

Semua orang bebai hari ni.

Nota: Bebai – Bengong, perangai aneh-aneh.

Leave a Comment

Walking down the street of memories III

*Entri ni dulu dikutip daripada sisa-sisa blog yang lama dulu*

Walking down the street of memories III

Rail filem berputar semula ke dua tahun lepas. Sekitar 2006. Kem Motivasi dan Kecemerlangan di sebuah sekolah rendah terletak di kawasan pedalaman negeri timur Semenanjung Malaysia. Aku pada waktu tu sedang sibuk membelek senarai nama peserta kem motivasi pada kali ini. Semua pelajar Darjah 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR. Kedua belah mata sibuk meneliti senarai nama yang hadir dibandingkan nama yang telah didaftarkan. Semua aturan program sudah disempurnakan, terima kasih kepada rakan rakan yang amat komited. Ada lima nama yang masih tak melaporkan diri. Jam sudah 5.30 petang. Gusar. Waktu melapor diri sudah ditutup pukul 2.30 petang tadi. Ada maslahah lain barangkali. Tak mengapalah.

Setelah selesai mata menjamah senarai bertulis 120 orang pelajar yang hadir, aku berdiri sambil memandang suasana keliling sekolah rendah itu. Sekolah kampung. Tiada apa yang istimewa. Semuanya asas. Tiada trek balapan, hanya padang kecil sebesar separuh padang bolasepak yang standard. Dari jauh rakan rakan yang sibuk dengan tugasan masing-masing tapi masih mampu melambai tangan daripada jauh untuk aku. Aku tersenyum lagi petang yang redup itu. Terkenang zaman sekolah rendah dulu. Begitu sibuk ke sana kemari mengikuti kursus motivasi. Kali ini, semuanya tertanggung atas pundak bahu aku yang waktu itu masih lagi bertulang kering. Aku duduk bersila di atas rumput. Mengelamun sambil mencabut kemuncup degil di seluar.

“Assalamualaikum nak”

Aku di sapa oleh seorang makcik tua sekitar umur 50 tahun. Bertudung biru pudar, berbaju kurung lusuh. Ada dua beg plastik yang dijinjitnya.

“Wa’alaikumussalam makcik.”

“Emm, anak ni pengarah khemah motivasi ni ke?”

Tanya makcik tua itu kepada aku. Aku masih mengibas-ngibas sisa sisa daun dan rumput yang melekat di belakang seluar.

“Nama saya Azwan. Pengarah program kem ni. Boleh saya tolong makcik?”

Makcik itu kemudiannya bungkam seribu bahasa. Mukanya tunduk memandang tanah seperti ada satu awan kesedihan yang datang berbondong-bondong dan hujan terus membasahi bumi hatinya, lantas tempiasnya tersebar ke aku yang berdiri hanya di sudut situ.

“Nak, makcik ada anak dua orang. Kembar. Darjah enam. Sepatutnya mereka berdua wajib ikut kem UPSR ni. Tapi makcik takde duit nak bayar yuran kem ni. Makcik tak mampu. Boleh tak makcik gantikan yuran kem kali ni dengan sayur labu air ni? Makcik nak tengok anak makcik berdua tu berjaya bila besar nanti, bukan ikut hidup susah macam makcik.”

Aku lihat ada sepercik sinar harapan terbit dari kedua belah mata redupnya. Yuran kem itu tidaklah semahal mana. Hanya RM 20.00. Tetapi nilai RM 20.00 itu sebenarnya masih besar untuk sesetengah mereka yang tak bernasib baik. Aku rasa tak perlu berfikir panjang untuk hal ni.

“Beginilah makcik. Makcik bawak anak-anak makcik tu datang ke sekolah juga petang ni. Siapkan baju mereka untuk 3 hari dan keperluan lain. Soal yuran tu, makcik tak payah risau. Saya bayarkan. Datang sebelum pukul 6.30 ya. Sebab aktiviti nak mula lepas maghrib”

Sepercik sinaran yang tadi hampir malap terpadam kini semakin cerah secerahnya. Air mata makcik tua itu kelihatan bergenang di sudut matanya. Gembira dengan jawapan aku barangkali. Itu saja yang mampu aku buat.

“Terima kasih banyak banyak nak. Semoga Allah saja yang memberkati jasa baik anak tolong makcik ni. Ambiklah labu air ni. Makcik rasa bersalah kalau anak tak terima. Ini je yang makcik mampu.”

“Terima kasih banyak banyak makcik. Susah susah je bawak sayur ni jauh jauh”

Aku lihat ada 5 biji labu air dan beberapa sikat pisang di dalam plastik tersebut.

“Kejap lagi makcik datang balik ya?”

Aku hanya mengangguk dan hanya berdiri terpaku melihat makcik tua itu hilang dari pandangan di balik pelangi yang baru terbit dari hatinya. Lantas aku berjalan perlahan menjinjit beg plastik berisi harapan seorang ibu. Harapan agar darah dagingnya berjaya dunia dan akhirat. Walaupun tak mampu tapi masih berusaha memberikan apa yang terbaik untuk anaknya. Hati aku sebak teramat sangat ketika itu mengenangkan ramai lagi mereka yang senang lenang tapi masih tak mahu mengambil peluang sepenuhnya.

Menu makan malam kami rakan-rakan pada malam itu. Sayur labu air. Diiringi dengan titisan air mata para fasilitator dan cikgu pengajar yang mendengar cerita aku sebelum ta’aruf program bermula.

Leave a Comment