*Entri ni dulu dikutip daripada sisa-sisa blog yang lama dulu*
Walking down the street of memories III
Rail filem berputar semula ke dua tahun lepas. Sekitar 2006. Kem Motivasi dan Kecemerlangan di sebuah sekolah rendah terletak di kawasan pedalaman negeri timur Semenanjung Malaysia. Aku pada waktu tu sedang sibuk membelek senarai nama peserta kem motivasi pada kali ini. Semua pelajar Darjah 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR. Kedua belah mata sibuk meneliti senarai nama yang hadir dibandingkan nama yang telah didaftarkan. Semua aturan program sudah disempurnakan, terima kasih kepada rakan rakan yang amat komited. Ada lima nama yang masih tak melaporkan diri. Jam sudah 5.30 petang. Gusar. Waktu melapor diri sudah ditutup pukul 2.30 petang tadi. Ada maslahah lain barangkali. Tak mengapalah.
Setelah selesai mata menjamah senarai bertulis 120 orang pelajar yang hadir, aku berdiri sambil memandang suasana keliling sekolah rendah itu. Sekolah kampung. Tiada apa yang istimewa. Semuanya asas. Tiada trek balapan, hanya padang kecil sebesar separuh padang bolasepak yang standard. Dari jauh rakan rakan yang sibuk dengan tugasan masing-masing tapi masih mampu melambai tangan daripada jauh untuk aku. Aku tersenyum lagi petang yang redup itu. Terkenang zaman sekolah rendah dulu. Begitu sibuk ke sana kemari mengikuti kursus motivasi. Kali ini, semuanya tertanggung atas pundak bahu aku yang waktu itu masih lagi bertulang kering. Aku duduk bersila di atas rumput. Mengelamun sambil mencabut kemuncup degil di seluar.
“Assalamualaikum nak”
Aku di sapa oleh seorang makcik tua sekitar umur 50 tahun. Bertudung biru pudar, berbaju kurung lusuh. Ada dua beg plastik yang dijinjitnya.
“Wa’alaikumussalam makcik.”
“Emm, anak ni pengarah khemah motivasi ni ke?”
Tanya makcik tua itu kepada aku. Aku masih mengibas-ngibas sisa sisa daun dan rumput yang melekat di belakang seluar.
“Nama saya Azwan. Pengarah program kem ni. Boleh saya tolong makcik?”
Makcik itu kemudiannya bungkam seribu bahasa. Mukanya tunduk memandang tanah seperti ada satu awan kesedihan yang datang berbondong-bondong dan hujan terus membasahi bumi hatinya, lantas tempiasnya tersebar ke aku yang berdiri hanya di sudut situ.
“Nak, makcik ada anak dua orang. Kembar. Darjah enam. Sepatutnya mereka berdua wajib ikut kem UPSR ni. Tapi makcik takde duit nak bayar yuran kem ni. Makcik tak mampu. Boleh tak makcik gantikan yuran kem kali ni dengan sayur labu air ni? Makcik nak tengok anak makcik berdua tu berjaya bila besar nanti, bukan ikut hidup susah macam makcik.”
Aku lihat ada sepercik sinar harapan terbit dari kedua belah mata redupnya. Yuran kem itu tidaklah semahal mana. Hanya RM 20.00. Tetapi nilai RM 20.00 itu sebenarnya masih besar untuk sesetengah mereka yang tak bernasib baik. Aku rasa tak perlu berfikir panjang untuk hal ni.
“Beginilah makcik. Makcik bawak anak-anak makcik tu datang ke sekolah juga petang ni. Siapkan baju mereka untuk 3 hari dan keperluan lain. Soal yuran tu, makcik tak payah risau. Saya bayarkan. Datang sebelum pukul 6.30 ya. Sebab aktiviti nak mula lepas maghrib”
Sepercik sinaran yang tadi hampir malap terpadam kini semakin cerah secerahnya. Air mata makcik tua itu kelihatan bergenang di sudut matanya. Gembira dengan jawapan aku barangkali. Itu saja yang mampu aku buat.
“Terima kasih banyak banyak nak. Semoga Allah saja yang memberkati jasa baik anak tolong makcik ni. Ambiklah labu air ni. Makcik rasa bersalah kalau anak tak terima. Ini je yang makcik mampu.”
“Terima kasih banyak banyak makcik. Susah susah je bawak sayur ni jauh jauh”
Aku lihat ada 5 biji labu air dan beberapa sikat pisang di dalam plastik tersebut.
“Kejap lagi makcik datang balik ya?”
Aku hanya mengangguk dan hanya berdiri terpaku melihat makcik tua itu hilang dari pandangan di balik pelangi yang baru terbit dari hatinya. Lantas aku berjalan perlahan menjinjit beg plastik berisi harapan seorang ibu. Harapan agar darah dagingnya berjaya dunia dan akhirat. Walaupun tak mampu tapi masih berusaha memberikan apa yang terbaik untuk anaknya. Hati aku sebak teramat sangat ketika itu mengenangkan ramai lagi mereka yang senang lenang tapi masih tak mahu mengambil peluang sepenuhnya.
Menu makan malam kami rakan-rakan pada malam itu. Sayur labu air. Diiringi dengan titisan air mata para fasilitator dan cikgu pengajar yang mendengar cerita aku sebelum ta’aruf program bermula.
Be First to Comment