Assalamualaikum WBT.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Segala puji bagi Allah SWT, Rab sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita sebagai hamba-hambaNya. Segala puji tasbih, tahmid dan takbir hanya untuk Dia.
Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, utusan terakhir, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan kesejahteraan dan juga keberkatan di dunia dan akhirat.
Aidilfitri datang lagi. Syukur ke hadrat Allah kerana kita dipanjangkan usia, dikurniakan nikmat sihat tubuh badan untuk menjalani ibadah Ramadhan yang penuh barakah. Sedih melihat apabila Ramadhan makin berlalu pergi, tatkala kita makin leka dengan urusan dunia seharian kita lupa untuk menambahbaik amalan kita disepanjang bulan ini. Untunglah kepada mereka yang memanfaatkan peluang yang ada kerana belum tentu lagi kita dijanjikan Ramadhan yang akan datang.
Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai hari kemenangan umat Islam. Hari kemenangan kita melawan godaan nafsu disepanjang bulan Ramadhan. Sepanjang sebulan kita dididik untuk berpuasa menahan lapar dahaga, mengawal tindak tanduk, menundukkan pandangan, menjaga tuturkata yang hari biasanya kurang kawalan, membataskan deria kita daripada melakukan perkara2 yang mencemar kesucian Ramadhan. InsyaAllah ganjaran mereka yang berjaya graduate daripada Madrasah Al-Ramadhan ini sangat besar, hanya kepada mereka yang ikhlas.
Sambutlah Aidilfitri dalam lingkungan syariat. Ingatlah Aidilfitri bukan perayaan bangsa. Cara sambutannya mestilah selari dengan tuntutan agama. Kita disunatkan untuk Solat sunat Aidilfitri berjemaah, memakai pakaian yang bersih, baik dan cantik dan menutup aurat. Bila kita berbicara tentang aurat, kita berbicara tentang aurat keseluruhan. Bukan hanya tudung semata. Batas pergaulan juga harus dijaga. Syawal bukan lesen untuk kita berbuat sesuka hati. Ziarah menziarahi juga sangatlah digalakkan, ketika itu kita boleh mengambil kesempatan mengeratkan tali silaturrahim yang mungkin longgar seketika dulu. Buangkan rasa ego, prejudis, hasad dan dengki sesama kita dan bina jambatan ukhuwah yang baru kerana kita ummat Islam adalah bersaudara dan sering perlu menyokong antara satu sama lain. Al-Quran mengajar kita menghormati antara satu sama lain, memuliakan persaudaraan sebagai rumpun jiran tetangga dalam sebuah masyarakat, bahkan hinggalah kepada cara bernegara. Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan Al Quran dan Sunnah.
Dengan izin Allah, insyaAllah diharapkan momentum ibadah kita sepanjang bulan Ramadhan akan terus berterusan dan segala ilmu yang dipelajari akan memberikan kita satu dimensi pemikiran yang baru yang lebih memahami erti hidup beragama dan berTuhan. InsyaAllah.
Dengan itu saya Azwan Ngali, dengan serendah-rendah hati, menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada teman-teman serta rakan pembaca jika selama ini tindak tanduk saya dari segi tutur kata dan perbuatan ada mengguris perasaan sepanjang perkenalan kita. Sesungguhnya fitrah saya seorang manusia sering melakukan kesilapan, itu semua adalah kelemahan saya dan saya memohon maaf. Hanya Allah saja yang Maha Sempurna.
Kepada yang memandu pulang ke kampung, berhati2 di jalan raya dan sampaikan salam saya kepada ahli keluarga sanak saudara. Moga diberkati perjalaan dan selamat sampai.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin. Allahu akbar. Walillahil hamd’.
Be First to Comment