Sejak Mekdi Equine Park melanjutkan kawasan penghantaran sampai dekat kariah rumah aku ni, ada beberapa hari dalam seminggu aku memang pepalih malas nak turun pergi carik nasik bungkus dekat Kedai Kuning deret Mydin, ataupun join kutu-kutu makan tengahari dekat Kedai Parman Dengkil, ataupun Mukalla restoran Arab Neo-Cyber yang garlic mayonaise-nya sangatlah ‘ekselen’
Jadi bila hari-hari malas dengan muka tak mandi, pakai kain pelekat duduk mengadap kerja di rumah, penyelesaian mudah untuk mengelak aku buat kerja dalam keadaan berlapar adalah dengan membuat pesanan online daripada website diorang. Penghantaran selalu tak lama, makan masa 30-45 minit juga bergantung kepada berapa ramai mak bapak yang double parking depan sekolah waktu tengahari, ataupun berapa banyak lokasi yang daripada dua lane jadi satu lane disebabkan kerja menampal jalan yang acapkali berlaku tiap-tiap minggu. Aku saspek malam-malam ada raksasa besar datang hentak kaki atas jalan Equine ni sampai berlubang. Kerja akak kerani kewangan MPSJ pun senang bila setiap tahun nak siapkan laporan audit kewangan. Hanya copy & paste “jalan berlubang” dan “Equine” dalam Microsoft Excel. Dulu dia guna mouse, sekarang dah pandai guna shortcut dekat keyboard.
Satu yang aku hangin dengan Mekdi ni, harga yang dia letak memang menyusahkan orang yang tak menyimpan syiling 5 sen dekat rumah. Kadang-kadang aku jadi kesian dekat rider yang hantar order ni raba poket sana sini atas bawah nak cari duit 5 sen untuk pulangan baki. Proses transaksi ni berpotensi untuk mengambil masa terlalu lama sekaligus mengundang jengahan jiran sebelah melalui tingkap lantas berteka-teki bilakah tarikh terakhir kami refill tong gas memasak.
Jadi untuk mengatasi masalah ni sekaligus menyuruh rider Mekdi ni balik selekas mungkin supaya aku boleh makan ayam goreng dengan aman sambil tonton cerita “Orange Is The New Black” yang penuh dengan aksi lesbian dalam penjara, aku mengamalkan sikap “keep the change” dekat rider Mekdi tu. Bila jumlah order aku contohnya RM 22.50, aku sengaja kasi RM 25.00 atas niat sedekah. Mana la tau dalam perjalanan dia semasa nak hantar order ni dia kena kejar babi hutan atau terpijak taik kucing. Sekurang-kurangnya diorang seronok menghantar order ke rumah kita. Muka pun tak kelat bila sampai depan pintu macam mintak kena lutut dekat perut.
***
Tapi dua tiga menjak ni rider yang hantar order aku ni adalah rider yang sama. Menyeringai je depan pintu tiap kali aku nak hulur duit. Aku rasa dia memang saja volunteer nak hantar order aku setiap kali nama aku keluar dekat sistem.
Sampai aku pun dah naik segan sebenarnya.
Leave a Comment